ANUGERAH JUARA LAGU 29
Tarikh : 18 Januari 2015
Tempat : Stadium Putra Bukit Jalil
Tahniah diucapkan kepada pemenang.
Juara : Joe Flizzow & Sonaone - Apa Khabar
Kedua : Sheila Amzah - Masih Aku Cinta
Ketiga : Dayang Nurfaizah - Di Pintu Syurga
Vokal Terbaik : Dayang Nurfaizah
Persembahan Terbaik : Mojo
SENARAI NAMA FINALIS ANUGERAH JUARA LAGU 29 #ajl29
ALYAH - SESAL SEPARUH NYAWA
Berkisar tentang cinta
lama, lagu “Sesal Separuh Nyawa” nyanyian Alyah merupakan salah sebuah lagu
yang layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29. Menurut penulis
lirik lagu ini, Shah Shamshiri, lagu ini mengenai pengalaman dirinya sendiri.
“Biasanya saya akan tulis
lirik mengenai cerita orang lain. Tapi entah kenapa kali ini saya ingin menulis
tentang pengalaman saya sebelum ini. Ia berkisar tentang bekas kekasih,” kata
Shah menambah tajuk asal lagu ini adalah “Separuh Sayang”.
“Sebelum lagu ini
diberikan pada Alyah, ianya ditulis khas untuk Alfie yang merupakan komposer
lagu ini. Tajuk asal “Separuh Sayang” kerana saya dan bekas kekasih saya ketika
itu masih berkawan. Namun setelah Alyah mendengar lagu ini, kebetulan Alyah pun
pernah melalui pengalaman yang sama,” katanya.
Lirik asal “Sesal Separuh
Nyawa” diubah serba sedikit oleh Alyah demi menyesuaikan dengan pengalamannya.
Jelas Shah, pengalaman Alyah lebih tragis kerana bekas kekasihnya sudah
berkahwin.
“Alyah menjadikan lagu ini
lebih hiba kerana bekas kekasih Alyah sudah berkahwin dan mustahil untuk dia
kembali bersama bekas kekasihnya. Sebab itu lagu ini ditukar kepada “Sesal
Separuh Nyawa”,” katanya.
Sementara itu, Shah
memberitahu lagu ini sudah ditulis sekitar tahun 2012 kerana Alfie selaku
komposer lagu mahu menyanyikan sendiri lagu ini. Kemudian Alfie menyertai
kumpulan Tiga dan rancangannya untuk merakam lagu ini tertangguh. Setelah itu,
Alfie dimaklumkan bahawa Alyah sedang mencari lagu baru dan Alfie menawarkan
lagu ini kepadanya.
YUNA- LELAKI
Saat lagu ini popular di corong radio, ramai yang membuat
spekulasi bahawa “Lelaki” ditujukan kepada bekas kekasihnya iaitu pelakon serta
pengacara, Qi Razali. Ini kerana jika diamati pada lirik lagu, ia seolah-olah
menggambarkan Yuna yang juga penulis serta komposer lagu tersebut, sedang
mengekspresikan kemarahannya pada bekas kekasih.
Namun Yuna
menafikan lagu itu ditujukan kepada Qi, sebaliknya menegaskan “Lelaki” sudah
pun dihasilkan sejak tahun 2012 di mana ketika itu dia masih lagi menjalinkan
hubungan dengan jejaka tersebut. Menurutnya lagi, Qi turut berada bersamanya
ketika lagu itu dirakamkan di studio.
Menyentuh
mengenai penghasilan lirik “Lelaki”, Yuna memberitahu dia mendapat inspirasi
menulis lagu itu melalui pengalaman kenalannya sendiri. Ia berkisarkan tentang
kehidupan pasangan yang telah lama menjalin hubungan namun setelah hampir 10
tahun bersama, hubungan mereka terputus kerana ada pihak ketiga.
Tambah
Yuna, dia mengambil tempoh sebulan untuk menyiapkan lagu ini. Dari segi muzik,
dia menggubah lagu tersebut dalam masa beberapa hari bersama AG Coco.
Menurutnya lagi, dia tidak mempunyai sebarang cabaran ketika menghasilkan lagu
“Lelaki” ia sebuah lagu yang sangat ‘straight forward’.
Bagi mereka
yang pernah mendengar lagu ini, anda pasti perasan Yuna ada berbahasa Perancis.
Ditanya apakah maksud kata-kata yang diungkapkannya, Yuna memberitahu ia
seperti seorang gadis bertanya kepada kekasihnya, “Kenapa engkau tinggalkan ku
kerana aku tidak boleh hidup tanpa mu”.
Seperti
tahun lalu, Yuna juga tidak dapat membuat persembahan di malam kemuncak AJL
kerana sibuk merakamkan album keduanya di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun,
Yuna yakin dengan kemampuan penggantinya, Najwa Mahiaddin. Seperti finalis
lain, Yuna juga meletakkan harapan untuk menang namun menyerahkan segalanya kepada
Allah.
DATUK HATTAN & WARIS - GADIS JOLOBU
Kolaborasi Datuk Hattan dan W.A.R.I.S dalam lagu “Gadis
Jolobu” nyata membuahkan hasil. Setelah hampir 22 tahun tidak menjengahkan kaki
ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL), Datuk Hattan kembali bertanding,
kali ini bersama pendatang baru, W.A.R.I.S. Dihasilkan oleh DJ Fuzz, lagu yang
membawa dialek pertuturan orang Negeri Sembilan ini dicipta liriknya oleh
W.A.R.I.S dan Datuk Hattan.
“Lagu ini merupakan hasil kolaborasi pertama saya dengan
Datuk Hattan. Inspirasi saya untuk membuat lagu ini datang dari datuk saudara
saya. Dia merupakan seorang yang kuat dalam mempertahankan dan memartabarkan
adat di Rembau, Negeri Sembilan. Saya juga mendapat ilham dari arwah datuk saya
sendiri. Dia seorang yang suka bergurindam. Dari situ saya mendapat inspirasi
untuk menulis lagu ini,” ujar Waris memulakan perbualan.
Bercerita mengenai mitos gadis Jelebu yang diminati
ramai, Waris mengambil kisah tersebut sebagai tunjang utama liriknya.
“Orang dahulu kala ada bercerita jika ada sesiapa orang
luar yang datang ke daerah Jelebu, pastinya mereka akan terpikat dengan gadis
yang berada di sana dan ingin berkahwin dengan mereka. Saya merangkumkan kisah
mitos tersebut dengan unsur budaya yang semakin dilupakan, unsur adat dan suku
orang Negeri Sembilan yang kadang kala disalahtafsirkan oleh pihak luar,
perihal orang muda yang semakin lupa adat mereka dan sebagainya,” katanya lagi.
Berbeza dengan lagu “Botingkek” dan “Rembau Most Wanted”
yang lebih terarah kepada rap, “Gadis Jolobu” ini berbeza melodinya dan Waris
banyak menyanyi berbanding rap.
“Dalam lagu terdahulu, saya banyak rap. Dalam lagu “Gadis
Jolobu”, saya lebih banyak menyanyi kerana melodi lagu ini berbeza. Saya
garapkan unsur-unsur kritikan sosial dalam lagu ini agar anak muda zaman kini
menyedari nilai adat dan budaya yang kita miliki. Kita kaya dengan adat dan
semoga dengan kehadiran lagu ini dapat membuka mata generasi muda.”
Lagu “Gilalah” merupakan percubaan pertama Stacy dalam
penulisan lirik. Gadis kelahiran Sabah ini dicabar oleh Omar K yang merupakan
komposer untuk lagu berentak rancak itu.
“Omar K
mencabar saya untuk membuat lirik kerana sebelum ini saya tidak begitu yakin
dengan kebolehan saya mencipta lirik. Dia suruh saya belajar. Jadi, saya
menyahut cabaran tersebut dan cuba.
“Bait-bait
lagu “Gilalah” lahir dari hati tulus saya kerana saya menulis tentang apa yang
saya rasa. Pada mulanya saya memang rasa pelik kerana menyanyikan lagu ciptaan
sendiri dan saya sama sekali tidak menyangka lagu ini berjaya ke Anugerah Juara
Lagu,” ujar Stacy.
Hanya
mengambil tempoh lebih kurang 2 jam sahaja untuk menulis lirik bagi lagu ini,
Stacy berkongsi yang “Gilalah” berkisar mengenai kehidupannya bersama anak,
Beyya.
“Saya
membuat lirik untuk lagu ini dalam lebih kurang 2 jam kerana dalam masa yang
sama saya turut membuat ‘research’ mengenai ayat. Tidak dinafikan Bahasa
Malaysia saya tidaklah begitu mantap jadi saya perlu membuat kajian dahulu.
“Lagu yang
dihasilkan saya ini mendapat sentuhan peribadi kerana menggambarkan kehidupan
saya bersama anak. Saya menulis makanan kegemaran Beyya serta aktiviti yang
kami lakukan pada masa lapang,” ujar Stacy.
SHILA AMZAH - MASIH AKU CINTA
Melihat pada lirik lagu ciptaan Shila Amzah ini, ia sudah
cukup untuk membuatkan pendengar mengetahui lagu “Masih Aku Cinta” berkisarkan
tentang pengalamannya sendiri. Malah, Shila tanpa berselindung mengakui lagu
tersebut sememangnya dihasilkan ketika dirinya dalam kekusutan saat kontroversi
kisah cintanya hangat diperkatakan sekitar awal tahun 2013.
Jika anda
masih ingat tentang insiden ketika itu, Shila pernah ‘menghilangkan diri’ dan
perkara itu bukan sahaja mencemaskan keluarganya, malah seluruh peminat
industri. Saat ‘kehilangan’nya itu juga, Shila mendapat perhatian ramai dengan
kemunculan klip video lagu “Ombak Rindu” yang dikongsikannya. Penyanyi lagu
“Patah Seribu” ini mengakui membawa diri bagi mendapatkan ketenangan. Ternyata
pengalaman putus cinta dengan cinta hatinya, Sharnaaz Ahmad betul-betul memberi
impak yang besar buat penyanyi ini.
Walaupun
sakit untuk menelannya, namun pengalaman yang dilalui sedikit pun tidak
melemahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan. Tidak lama selepas itu,
Shila terus bangkit dengan semangat baru. Peristiwa yang dilalui memberi idea
untuknya menghasilkan lagu sehingga dia berjaya muncul dengan album baru pada
pertengahan tahun yang sama. Dia hanya mengambil masa lima bulan sahaja untuk
menyiapkan album yang mempunyai lima buah lagu itu, di mana kebanyakan
lagu-lagu yang dimuatkan memaparkan pengalaman lalu termasuk perjalanan
cintanya.
Ternyata
cinta pertama Shila memberi seribu pengertian dalam hidupnya dan tentunya satu
proses kematangan buat dirinya. Anak kepada ND Lala ini turut berkongsi
memandangkan lagu “Masih Aku Cinta” ini terhasil dari lubuk hati serta
pengalamannya sendiri, jadi ia adalah sesuatu yang lebih mudah untuknya
menghasilkan lagu tersebut. Namun dari sudut yang lain, anak sulung dari empat
adik beradik ini turut memberitahu bukan mudah untuknya berterus-terang dalam
lagu lebih-lebih lagi lagu itu menceritakan kisahnya sendiri. Apapun, dia
mengakui berasa lebih lega apabila segala bebanan yang terbuku dan disimpan di
hati dapat diluahkan menerusi lagu ini.
MOJO - ROMANCINTA
Selepas lagu “Andaiku Bercinta Lagi”, tahun ini kumpulan
Mojo berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 29
yang bakal berlangsung pada 18 Januari ini menerusi “Romancinta”, ciptaan Edry
Abd Halim. Single kedua kumpulan ini mempertaruhkan irama muzik rock klasik.
“Lagu “Romancinta” membawa maksud perasaan romantis yang
hadir dalam cinta atau boleh dikatakan sebagai merasai perasaan cinta di dalam
hati. Lagu ini bercerita mengenai keperitan dan kepayahan seseorang selepas
kehilangan cinta sejatinya, namun tetap mahu menunggu dan terus setia menanti
cinta tersebut kembali semula kepadanya. Boleh dikatakan lagu ini dihasilkan
dengan suasana perasaan dan emosi ‘hitam’ yang berkisar perihal kesedihan dan
kehilangan,” ujar Edry.
"Konsep lagu dan muzik yang diketengahkan dalam lagu
“Romancinta” ialah untuk mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan muzik rock
klasik yang pernah ada dengan persembahan muzik yang kami bawakan dalam band
ini. Lagu ini juga menjadi pertaruhan kami selepas kami meilhat adanya peluang
untuk menampilkan semula irama rock klasik dan ini juga untuk menarik perhatian
penggemar muzik genre tersebut. Ada juga yang merasakan lagu ini sebagai lagu
sambungan bagi single pertama kami, “Andaiku Bercinta Lagi” yang berjaya ke AJL
27.”
JOE FLIZZOW & SONA ONE - APA KHABAR
https://www.4shared.com/mp3/s5ieWoZCce/Joe_Flizzow_feat_SonaOne_-_Apa.html
Mengulas mengenai kolaborasi bersama SonaOne menerusi
lagu “Apa Khabar”, Joe Flizzow mengklasifikasikan lagu tersebut sebagai luahan
rasanya. Joe menampilkan kelainan dengan membawakan mesej persahabatan antara
dua lelaki.
“Lagu ini bersifat peribadi kepada saya kerana ia
merupakan luahan rasa saya. Lelaki jarang meluahkan perasaan, namun kata-kata
tersebut dizahirkan melalui penulisan lagu. Lagu “Apa Khabar” dirakamkan oleh
saya seorang diri dalam studio bagi betul-betul mendapat ‘feel’ untuk lagu
berunsur melankolik.
“Beberapa baris pertama lagu tersebut mengenai rasa
kesunyian manakala idea selebihnya timbul secara spontan. Secara tidak langsung
peminat-peminat Too Phat mendapat gambaran mengenai situasi antara saya dan
Malique yang tidaklah seburuk mana seperti yang disangka,” kata Joe.
Menurutnya, peminat-peminat Too Phat berhak untuk sedikit
sebanyak mendapat gambaran mengenai nasib kumpulan hip hop tersebut. Selain
membawa kegembiraan kepada peminat Too Phat, lagu tersebut juga menangkis
kontroversi yang mengatakan Joe dan Malique sudah tidak bertegur sapa.
“Saya belum lagi berjumpa dengan Malique tetapi saya
telah memaklumkan kepadanya mengenai lagu serta muzik video “Apa Khabar” sehari
sebelum ianya dimuat naik di laman sosial. Saya menerima pesanan ringkas
daripada Malique yang berbunyi ‘It’s a good video’ yang mana saya rasa dia juga
menyukai video ini.
“Ini merupakan lagu tentang persahabatan yang mana saya
ingin memberitahu kepada peminat bahawa kami masih lagi baik seperti dahulu.
Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham selepas membawa haluan
masing-masing,” ujar Joe.
INDAH RUHAILA - PERCAYALAH
Menyentuh mengenai sejarah di sebalik lagu “Percayalah”,
ia pada mulanya dicipta untuk diberikan kepada finalis Akademi Fantasia 2013
sebagai lagu baru mereka untuk dipersembahkan ketika konsert akhir. Ketika
pihak penerbitan meminta komposer, Aiman untuk membuat sebuah lagu, dia
memberitahu sama sekali tidak tahu siapakah finalis yang akan menyanyikan lagu
ini.
Aiman
berkongsi dia hanya mengambil masa satu hari untuk menggubah lagu tetapi secara
keseluruhan, tempoh tiga hari digunakan untuk menyusun muzik dan melodi sebelum
menyerahkannya kepada pihak penerbitan. Aiman kemudiannya bertemu dengan
penulis lirik Mohd Atlas untuk berbincang mengenai lirik lagu. Apabila mendapat
tahu lagu tersebut akan dinyanyikan oleh Indah Ruhaila, mereka berdua berasa
lega kerana menganggap Indah antara finalis yang mempunyai vokal yang kuat dan
bagus dalam program realiti itu.
Berkongsi
mengenai lirik lagu “Percayalah”, Mohd Atlas memberitahu idea untuk menulis
lagu ini diperoleh ketika berada di sebuah rumah di tapak projek di Pulau
Indah, Klang. Ketika itu, dia telah berbincang dengan komposer dan memberitahu
ingin menyampaikan mesej tentang perhubungan cinta jarak jauh. Mohd Atlas
memberitahu lagu ini boleh diinterpretasikan kepada suami isteri ataupun
pasangan kekasih di mana mesejnya mudah, perasaan cinta dan rindu itu harus
kuat walaupun jauh mana kita berada.
Kata Mohd
Atlas lagi, inspirasi menghasilkan lagu ini datang melalui pengalaman sendiri
selain turut menggabungkan kisah pengalaman kawan-kawan. Hasil dari
perbincangan dengan komposer, Mohd Atlas mengambil masa tiga jam sahaja untuk
menulis lirik lagu “Percayalah”.
Biarpun
sudah menulis banyak lagu untuk artis-artis popular seperti Adira, Hafiz dan
Sofazr, Mohd Atlas mengakui gementar kerana takut andai lagunya itu tidak dapat
diterima peminat muzik tanah air. Apapun, dia sangat gembira dan terharu kerana
“Percayalah” merupakan penulisan liriknya yang pertama kali dapat ke pentas
Anugerah Juara Lagu. Dia mengakui teruja kerana ia satu pencapaian yang
membanggakan buat dirinya dalam bidang penulisan.
Lagu “Malaikat” merupakan hasil sentuhan komposer Omar K
manakala liriknya ciptaan bersama Omar K, Mike Chan dan Hazama sendiri. Video
klip lagu tersebut menggambarkan seorang lelaki yang sudah tiada dan memohon
pada Tuhan untuk menjaga kekasihnya.
Kata Hazama, lagu tersebut ditujukan kepada orang
tersayang tidak kira ibubapa mahupun sesiapa saja. Ia tidak khusus buat
pasangan bercinta kerana mempunyai konteks yang lebih luas.
“Lagu “Malaikat” ini kami cipta bersama untuk meluahkan
rasa kasih sayang terhadap manusia. Namun kasih sayang tersebut tidak hanya
terhad kepada pasangan kekasih sebaliknya mempunyai konteks yang lebih luas dan
mendalam.
“Jika orang ramai mendengar lagu ini dan menujukannya
kepada kekasih maka kekasihlah tetapi bagi saya lagu ini bersifat umum. Ia
boleh diberikan fokus kepada sesiapa saja yang kita sayang,” kata Hazama.
Menurutnya, dia berharap percubaan pertamanya dalam
penulisan lirik dapat diterima ramai serta menghiburkan peminatnya. Malah lagu
santai ini memberikan aura positif kerana mengajak pendengar untuk turut sama
menyanyi.
“Saya berharap agar mereka yang mendengar lagu ini akan
turut sama merasakan aura positif yang cuba saya sampaikan. Memang ketika
menulis lagu ini saya menyimpan niat untuk membuatkan orang gembira ketika
mendengarnya,” ujar Hazama.
HAFIZ - MATAHARI
Lagu dendangan Hafiz Suip ini sememangnya mempunyai
maksud yang mendalam. Namun, apakah maksud sebenar di sebalik lirik yang begitu
puitis tulisan Transformers Melayu ini. Kata komposer “Matahari” (judul asalnya
“Matahari Tak Indah Lagi”), Ajai, lagu ini sebenarnya mempunyai elemen Islamik
di mana maksud sebenar lagu ini berkisar tentang akhirat.
“Lagu ini
bercerita tentang kesedaran manusia mengenai alam akhirat. Bila dah berlaku
kiamat, matahari tak akan muncul lagi. Namun secara am, lirik ini ditulis
dengan maksud yang tersirat agar pendengar bebas sesuaikan lagu ini dengan
situasi dan pemahaman mereka sendiri.”
Tambah
Ajai, lagu ini juga membawa maksud harapan dan masa depan seseorang yang
mengharapkan sinar di kemudian hari.
Demi
menyesuaikan dengan vokal Hafiz, lagu ini telah ditukar bait-bait liriknya
beberapa kali. Kata Ajai, mereka tidak mahu menjadikan lagu ini terlalu berat
dari segi maksud dan susunan muzik.
BUNKFACE & AMY SEARCH - RENTAK LAGUKU
Kumpulan Bunkface yang terdiri daripada tiga anak muda
iaitu Sam, Paan dan Youk merupakan antara finalis yang layak mara ke Anugerah
Juara Lagu (AJL) ke-29 menerusi lagu “Rentak Laguku”. Berkolaborasi dengan
legenda rock negara, Amy Search, Sam yang juga penulis lagu ini berkongsi
bahawa lagu tersebut mempunyai maksud yang besar untuk Bunkface.
“Lagu ini
merupakan single pertama dari album ‘Malam Ini Kita Punya’. Saya tulis lagu ini
dah lama, kira-kira dua tahun lepas. Ia mempunyai makna yang besar untuk
Bunkface kerana lagu ini menjelaskan muzik yang kami bawa dan kami akan kekal
dengan muzik sebegini,” jelas Sam.
Tambah
vokalis Bunkface ini lagi, dia turut menyelitkan kata-kata sinis yang berbunyi
“Kelebihan yang kau ada cuma seketika” sebagai peringatan untuk mereka sendiri
dan juga penggiat seni yang lain supaya tak mudah lupa diri.
“Inspirasi
lagu ini ditulis buat kumpulan muzik yang ingin bertapak dalam industri, namun
setelah dikenali mereka lupa diri. Ia juga merupakan pesanan untuk kami
sendiri,” kata Sam.
Bergabung
dengan Amy Search dalam lagu ini, menurut Sam, Amy merupakan legenda rock yang
pernah melalui asam garam kehidupan sebagai anak seni. Maka, Amy lebih memahami
kepayahan yang dilalui anak-anak muda sekarang dalam memperjuangkan muzik
mereka.
“Abang Amy
pernah melalui fasa tersebut dan beliau seorang saja faham situasi kami.
Lagipun, kami dan Abang Amy merupakan dua generasi yang berbeza namun
memperjuangkan muzik yang sama,” ujarnya.
DAYANG NURFAIZAH - DI PINTU SYURGA
Siapa boleh lupa penangan lagu “Di Pintu Syurga”? Masih
menjadi siulan sehingga kini, popularitinya melonjak sejak dipilih sebagai lagu
tema drama bersiri slot Akasia, ‘Ariana Rose’. Bertemu dengan Iman Imran,
penulis lirik bagi lagu dendangan Dayang Nurfaizah itu, dia memberitahu lirik
lagu tersebut dihasilkan dalam masa tiga jam sahaja.
“Masa saya
dapat lagu tersebut, saya sudah tahu yang lagu itu adalah nukilan Tam Spider
dan bakal dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah. Saya telah terlebih dahulu
dimaklumkan oleh pihak pengurusan mengenai apa yang perlu saya lakukan. Pada
mulanya, saya takut kerana lagu ini merupakan karya Tam selaku komposer.
Hasil sentuhan Tam tidak pernah mengecewakan dan saya agak gementar pada mulanya. Namun begitu, selepas sesi perbincangan, saya sudah boleh lakarkan apa yang mahu ditulis dalam lagu tersebut. Akhirnya saya menulis lagu itu dalam masa tiga jam sahaja,” ujar Iman memulakan perbualan.
Hasil sentuhan Tam tidak pernah mengecewakan dan saya agak gementar pada mulanya. Namun begitu, selepas sesi perbincangan, saya sudah boleh lakarkan apa yang mahu ditulis dalam lagu tersebut. Akhirnya saya menulis lagu itu dalam masa tiga jam sahaja,” ujar Iman memulakan perbualan.
Mengambil
inspirasi dari apa yang berlaku di sekeliling sebagai sumber rujukan untuk
jalan cerita lagu, Iman menyatakan yang hampir kesemua orang pernah melalui
pengalaman yang sama dengan apa yang dicoretkan dalam lagu tersebut.
“Semua
pernah melalui pengalaman serupa, iaitu kehilangan. Saya rasakan lagu ini tidak
hanya termaktub untuk kehilangan cinta kekasih sahaja, namun ia juga boleh
dikaitkan dengan perkara lain. Lagu ini juga menceritakan tentang kehilangan
orang tersayang seperti sahabat, keluarga, kisah tragis seperti bencana atau
musibah yang menimpa. Ada juga yang datang kepada saya kerana terkesan dengan
lagu ini; apabila mereka mendengar, mereka teringat dengan arwah ibu mereka,”
kata Iman.
“Selain
menampilkan kisah mengenai kehilangan, lagu “Di Pintu Syurga” juga bercerita
perihal cinta yang tidak sampai. Walaupun tidak kesampaian, cinta itu tidak
hilang. Walaupun ‘lenyap’ di dunia, cinta itu berkekalan sehingga ke syurga.”
Sumber : Anugerah Juara Lagu 29
1 sweet comments:
artikelnya bagus
Post a Comment