Lazada Malaysia

Monday, January 19, 2015

Home » Pemenang Anugerah Juara Lagu 29

Pemenang Anugerah Juara Lagu 29

ANUGERAH JUARA LAGU 29

Tarikh : 18 Januari 2015
Tempat : Stadium Putra Bukit Jalil


Tahniah diucapkan kepada pemenang.

Juara : Joe Flizzow & Sonaone - Apa Khabar
Kedua : Sheila Amzah - Masih Aku Cinta
Ketiga : Dayang Nurfaizah - Di Pintu Syurga

Vokal Terbaik : Dayang Nurfaizah
Persembahan Terbaik : Mojo


SENARAI NAMA FINALIS ANUGERAH JUARA LAGU 29 #ajl29

ALYAH - SESAL SEPARUH NYAWA
Berkisar tentang cinta lama, lagu “Sesal Separuh Nyawa” nyanyian Alyah merupakan salah sebuah lagu yang layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29. Menurut penulis lirik lagu ini, Shah Shamshiri, lagu ini mengenai pengalaman dirinya sendiri.

“Biasanya saya akan tulis lirik mengenai cerita orang lain. Tapi entah kenapa kali ini saya ingin menulis tentang pengalaman saya sebelum ini. Ia berkisar tentang bekas kekasih,” kata Shah menambah tajuk asal lagu ini adalah “Separuh Sayang”.

“Sebelum lagu ini diberikan pada Alyah, ianya ditulis khas untuk Alfie yang merupakan komposer lagu ini. Tajuk asal “Separuh Sayang” kerana saya dan bekas kekasih saya ketika itu masih berkawan. Namun setelah Alyah mendengar lagu ini, kebetulan Alyah pun pernah melalui pengalaman yang sama,” katanya.

Lirik asal “Sesal Separuh Nyawa” diubah serba sedikit oleh Alyah demi menyesuaikan dengan pengalamannya. Jelas Shah, pengalaman Alyah lebih tragis kerana bekas kekasihnya sudah berkahwin.

“Alyah menjadikan lagu ini lebih hiba kerana bekas kekasih Alyah sudah berkahwin dan mustahil untuk dia kembali bersama bekas kekasihnya. Sebab itu lagu ini ditukar kepada “Sesal Separuh Nyawa”,” katanya.

Sementara itu, Shah memberitahu lagu ini sudah ditulis sekitar tahun 2012 kerana Alfie selaku komposer lagu mahu menyanyikan sendiri lagu ini. Kemudian Alfie menyertai kumpulan Tiga dan rancangannya untuk merakam lagu ini tertangguh. Setelah itu, Alfie dimaklumkan bahawa Alyah sedang mencari lagu baru dan Alfie menawarkan lagu ini kepadanya.

YUNA- LELAKI

Saat lagu ini popular di corong radio, ramai yang membuat spekulasi bahawa “Lelaki” ditujukan kepada bekas kekasihnya iaitu pelakon serta pengacara, Qi Razali. Ini kerana jika diamati pada lirik lagu, ia seolah-olah menggambarkan Yuna yang juga penulis serta komposer lagu tersebut, sedang mengekspresikan kemarahannya pada bekas kekasih.

Namun Yuna menafikan lagu itu ditujukan kepada Qi, sebaliknya menegaskan “Lelaki” sudah pun dihasilkan sejak tahun 2012 di mana ketika itu dia masih lagi menjalinkan hubungan dengan jejaka tersebut. Menurutnya lagi, Qi turut berada bersamanya ketika lagu itu dirakamkan di studio.

Menyentuh mengenai penghasilan lirik “Lelaki”, Yuna memberitahu dia mendapat inspirasi menulis lagu itu melalui pengalaman kenalannya sendiri. Ia berkisarkan tentang kehidupan pasangan yang telah lama menjalin hubungan namun setelah hampir 10 tahun bersama, hubungan mereka terputus kerana ada pihak ketiga.
Tambah Yuna, dia mengambil tempoh sebulan untuk menyiapkan lagu ini. Dari segi muzik, dia menggubah lagu tersebut dalam masa beberapa hari bersama AG Coco. Menurutnya lagi, dia tidak mempunyai sebarang cabaran ketika menghasilkan lagu “Lelaki” ia sebuah lagu yang sangat ‘straight forward’.

Bagi mereka yang pernah mendengar lagu ini, anda pasti perasan Yuna ada berbahasa Perancis. Ditanya apakah maksud kata-kata yang diungkapkannya, Yuna memberitahu ia seperti seorang gadis bertanya kepada kekasihnya, “Kenapa engkau tinggalkan ku kerana aku tidak boleh hidup tanpa mu”.

Seperti tahun lalu, Yuna juga tidak dapat membuat persembahan di malam kemuncak AJL kerana sibuk merakamkan album keduanya di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, Yuna yakin dengan kemampuan penggantinya, Najwa Mahiaddin. Seperti finalis lain, Yuna juga meletakkan harapan untuk menang namun menyerahkan segalanya kepada Allah.

DATUK HATTAN & WARIS - GADIS JOLOBU

Kolaborasi Datuk Hattan dan W.A.R.I.S dalam lagu “Gadis Jolobu” nyata membuahkan hasil. Setelah hampir 22 tahun tidak menjengahkan kaki ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL), Datuk Hattan kembali bertanding, kali ini bersama pendatang baru, W.A.R.I.S. Dihasilkan oleh DJ Fuzz, lagu yang membawa dialek pertuturan orang Negeri Sembilan ini dicipta liriknya oleh W.A.R.I.S dan Datuk Hattan.

“Lagu ini merupakan hasil kolaborasi pertama saya dengan Datuk Hattan. Inspirasi saya untuk membuat lagu ini datang dari datuk saudara saya. Dia merupakan seorang yang kuat dalam mempertahankan dan memartabarkan adat di Rembau, Negeri Sembilan. Saya juga mendapat ilham dari arwah datuk saya sendiri. Dia seorang yang suka bergurindam. Dari situ saya mendapat inspirasi untuk menulis lagu ini,” ujar Waris memulakan perbualan.

Bercerita mengenai mitos gadis Jelebu yang diminati ramai, Waris mengambil kisah tersebut sebagai tunjang utama liriknya.

“Orang dahulu kala ada bercerita jika ada sesiapa orang luar yang datang ke daerah Jelebu, pastinya mereka akan terpikat dengan gadis yang berada di sana dan ingin berkahwin dengan mereka. Saya merangkumkan kisah mitos tersebut dengan unsur budaya yang semakin dilupakan, unsur adat dan suku orang Negeri Sembilan yang kadang kala disalahtafsirkan oleh pihak luar, perihal orang muda yang semakin lupa adat mereka dan sebagainya,” katanya lagi.

Berbeza dengan lagu “Botingkek” dan “Rembau Most Wanted” yang lebih terarah kepada rap, “Gadis Jolobu” ini berbeza melodinya dan Waris banyak menyanyi berbanding rap.

“Dalam lagu terdahulu, saya banyak rap. Dalam lagu “Gadis Jolobu”, saya lebih banyak menyanyi kerana melodi lagu ini berbeza. Saya garapkan unsur-unsur kritikan sosial dalam lagu ini agar anak muda zaman kini menyedari nilai adat dan budaya yang kita miliki. Kita kaya dengan adat dan semoga dengan kehadiran lagu ini dapat membuka mata generasi muda.”


Lagu “Gilalah” merupakan percubaan pertama Stacy dalam penulisan lirik. Gadis kelahiran Sabah ini dicabar oleh Omar K yang merupakan komposer untuk lagu berentak rancak itu.

“Omar K mencabar saya untuk membuat lirik kerana sebelum ini saya tidak begitu yakin dengan kebolehan saya mencipta lirik. Dia suruh saya belajar. Jadi, saya menyahut cabaran tersebut dan cuba.

“Bait-bait lagu “Gilalah” lahir dari hati tulus saya kerana saya menulis tentang apa yang saya rasa. Pada mulanya saya memang rasa pelik kerana menyanyikan lagu ciptaan sendiri dan saya sama sekali tidak menyangka lagu ini berjaya ke Anugerah Juara Lagu,” ujar Stacy.

Hanya mengambil tempoh lebih kurang 2 jam sahaja untuk menulis lirik bagi lagu ini, Stacy berkongsi yang “Gilalah” berkisar mengenai kehidupannya bersama anak, Beyya.

“Saya membuat lirik untuk lagu ini dalam lebih kurang 2 jam kerana dalam masa yang sama saya turut membuat ‘research’ mengenai ayat. Tidak dinafikan Bahasa Malaysia saya tidaklah begitu mantap jadi saya perlu membuat kajian dahulu.

“Lagu yang dihasilkan saya ini mendapat sentuhan peribadi kerana menggambarkan kehidupan saya bersama anak. Saya menulis makanan kegemaran Beyya serta aktiviti yang kami lakukan pada masa lapang,” ujar Stacy.

SHILA AMZAH - MASIH AKU CINTA
Melihat pada lirik lagu ciptaan Shila Amzah ini, ia sudah cukup untuk membuatkan pendengar mengetahui lagu “Masih Aku Cinta” berkisarkan tentang pengalamannya sendiri. Malah, Shila tanpa berselindung mengakui lagu tersebut sememangnya dihasilkan ketika dirinya dalam kekusutan saat kontroversi kisah cintanya hangat diperkatakan sekitar awal tahun 2013.

Jika anda masih ingat tentang insiden ketika itu, Shila pernah ‘menghilangkan diri’ dan perkara itu bukan sahaja mencemaskan keluarganya, malah seluruh peminat industri. Saat ‘kehilangan’nya itu juga, Shila mendapat perhatian ramai dengan kemunculan klip video lagu “Ombak Rindu” yang dikongsikannya. Penyanyi lagu “Patah Seribu” ini mengakui membawa diri bagi mendapatkan ketenangan. Ternyata pengalaman putus cinta dengan cinta hatinya, Sharnaaz Ahmad betul-betul memberi impak yang besar buat penyanyi ini.

Walaupun sakit untuk menelannya, namun pengalaman yang dilalui sedikit pun tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan. Tidak lama selepas itu, Shila terus bangkit dengan semangat baru. Peristiwa yang dilalui memberi idea untuknya menghasilkan lagu sehingga dia berjaya muncul dengan album baru pada pertengahan tahun yang sama. Dia hanya mengambil masa lima bulan sahaja untuk menyiapkan album yang mempunyai lima buah lagu itu, di mana kebanyakan lagu-lagu yang dimuatkan memaparkan pengalaman lalu termasuk perjalanan cintanya.

Ternyata cinta pertama Shila memberi seribu pengertian dalam hidupnya dan tentunya satu proses kematangan buat dirinya. Anak kepada ND Lala ini turut berkongsi memandangkan lagu “Masih Aku Cinta” ini terhasil dari lubuk hati serta pengalamannya sendiri, jadi ia adalah sesuatu yang lebih mudah untuknya menghasilkan lagu tersebut. Namun dari sudut yang lain, anak sulung dari empat adik beradik ini turut memberitahu bukan mudah untuknya berterus-terang dalam lagu lebih-lebih lagi lagu itu menceritakan kisahnya sendiri. Apapun, dia mengakui berasa lebih lega apabila segala bebanan yang terbuku dan disimpan di hati dapat diluahkan menerusi lagu ini.

MOJO - ROMANCINTA
Selepas lagu “Andaiku Bercinta Lagi”, tahun ini kumpulan Mojo berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 29 yang bakal berlangsung pada 18 Januari ini menerusi “Romancinta”, ciptaan Edry Abd Halim. Single kedua kumpulan ini mempertaruhkan irama muzik rock klasik.

“Lagu “Romancinta” membawa maksud perasaan romantis yang hadir dalam cinta atau boleh dikatakan sebagai merasai perasaan cinta di dalam hati. Lagu ini bercerita mengenai keperitan dan kepayahan seseorang selepas kehilangan cinta sejatinya, namun tetap mahu menunggu dan terus setia menanti cinta tersebut kembali semula kepadanya. Boleh dikatakan lagu ini dihasilkan dengan suasana perasaan dan emosi ‘hitam’ yang berkisar perihal kesedihan dan kehilangan,” ujar Edry.

"Konsep lagu dan muzik yang diketengahkan dalam lagu “Romancinta” ialah untuk mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan muzik rock klasik yang pernah ada dengan persembahan muzik yang kami bawakan dalam band ini. Lagu ini juga menjadi pertaruhan kami selepas kami meilhat adanya peluang untuk menampilkan semula irama rock klasik dan ini juga untuk menarik perhatian penggemar muzik genre tersebut. Ada juga yang merasakan lagu ini sebagai lagu sambungan bagi single pertama kami, “Andaiku Bercinta Lagi” yang berjaya ke AJL 27.”

JOE FLIZZOW & SONA ONE - APA KHABAR

https://www.4shared.com/mp3/s5ieWoZCce/Joe_Flizzow_feat_SonaOne_-_Apa.html


Mengulas mengenai kolaborasi bersama SonaOne menerusi lagu “Apa Khabar”, Joe Flizzow mengklasifikasikan lagu tersebut sebagai luahan rasanya. Joe menampilkan kelainan dengan membawakan mesej persahabatan antara dua lelaki.

“Lagu ini bersifat peribadi kepada saya kerana ia merupakan luahan rasa saya. Lelaki jarang meluahkan perasaan, namun kata-kata tersebut dizahirkan melalui penulisan lagu. Lagu “Apa Khabar” dirakamkan oleh saya seorang diri dalam studio bagi betul-betul mendapat ‘feel’ untuk lagu berunsur melankolik.

“Beberapa baris pertama lagu tersebut mengenai rasa kesunyian manakala idea selebihnya timbul secara spontan. Secara tidak langsung peminat-peminat Too Phat mendapat gambaran mengenai situasi antara saya dan Malique yang tidaklah seburuk mana seperti yang disangka,” kata Joe.

Menurutnya, peminat-peminat Too Phat berhak untuk sedikit sebanyak mendapat gambaran mengenai nasib kumpulan hip hop tersebut. Selain membawa kegembiraan kepada peminat Too Phat, lagu tersebut juga menangkis kontroversi yang mengatakan Joe dan Malique sudah tidak bertegur sapa.

“Saya belum lagi berjumpa dengan Malique tetapi saya telah memaklumkan kepadanya mengenai lagu serta muzik video “Apa Khabar” sehari sebelum ianya dimuat naik di laman sosial. Saya menerima pesanan ringkas daripada Malique yang berbunyi ‘It’s a good video’ yang mana saya rasa dia juga menyukai video ini.

“Ini merupakan lagu tentang persahabatan yang mana saya ingin memberitahu kepada peminat bahawa kami masih lagi baik seperti dahulu. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham selepas membawa haluan masing-masing,” ujar Joe.

INDAH RUHAILA - PERCAYALAH

Menyentuh mengenai sejarah di sebalik lagu “Percayalah”, ia pada mulanya dicipta untuk diberikan kepada finalis Akademi Fantasia 2013 sebagai lagu baru mereka untuk dipersembahkan ketika konsert akhir. Ketika pihak penerbitan meminta komposer, Aiman untuk membuat sebuah lagu, dia memberitahu sama sekali tidak tahu siapakah finalis yang akan menyanyikan lagu ini.

Aiman berkongsi dia hanya mengambil masa satu hari untuk menggubah lagu tetapi secara keseluruhan, tempoh tiga hari digunakan untuk menyusun muzik dan melodi sebelum menyerahkannya kepada pihak penerbitan. Aiman kemudiannya bertemu dengan penulis lirik Mohd Atlas untuk berbincang mengenai lirik lagu. Apabila mendapat tahu lagu tersebut akan dinyanyikan oleh Indah Ruhaila, mereka berdua berasa lega kerana menganggap Indah antara finalis yang mempunyai vokal yang kuat dan bagus dalam program realiti itu.

Berkongsi mengenai lirik lagu “Percayalah”, Mohd Atlas memberitahu idea untuk menulis lagu ini diperoleh ketika berada di sebuah rumah di tapak projek di Pulau Indah, Klang. Ketika itu, dia telah berbincang dengan komposer dan memberitahu ingin menyampaikan mesej tentang perhubungan cinta jarak jauh. Mohd Atlas memberitahu lagu ini boleh diinterpretasikan kepada suami isteri ataupun pasangan kekasih di mana mesejnya mudah, perasaan cinta dan rindu itu harus kuat walaupun jauh mana kita berada.

Kata Mohd Atlas lagi, inspirasi menghasilkan lagu ini datang melalui pengalaman sendiri selain turut menggabungkan kisah pengalaman kawan-kawan. Hasil dari perbincangan dengan komposer, Mohd Atlas mengambil masa tiga jam sahaja untuk menulis lirik lagu “Percayalah”.

Biarpun sudah menulis banyak lagu untuk artis-artis popular seperti Adira, Hafiz dan Sofazr, Mohd Atlas mengakui gementar kerana takut andai lagunya itu tidak dapat diterima peminat muzik tanah air. Apapun, dia sangat gembira dan terharu kerana “Percayalah” merupakan penulisan liriknya yang pertama kali dapat ke pentas Anugerah Juara Lagu. Dia mengakui teruja kerana ia satu pencapaian yang membanggakan buat dirinya dalam bidang penulisan.


Lagu “Malaikat” merupakan hasil sentuhan komposer Omar K manakala liriknya ciptaan bersama Omar K, Mike Chan dan Hazama sendiri. Video klip lagu tersebut menggambarkan seorang lelaki yang sudah tiada dan memohon pada Tuhan untuk menjaga kekasihnya.

Kata Hazama, lagu tersebut ditujukan kepada orang tersayang tidak kira ibubapa mahupun sesiapa saja. Ia tidak khusus buat pasangan bercinta kerana mempunyai konteks yang lebih luas.

“Lagu “Malaikat” ini kami cipta bersama untuk meluahkan rasa kasih sayang terhadap manusia. Namun kasih sayang tersebut tidak hanya terhad kepada pasangan kekasih sebaliknya mempunyai konteks yang lebih luas dan mendalam.

“Jika orang ramai mendengar lagu ini dan menujukannya kepada kekasih maka kekasihlah tetapi bagi saya lagu ini bersifat umum. Ia boleh diberikan fokus kepada sesiapa saja yang kita sayang,” kata Hazama.
Menurutnya, dia berharap percubaan pertamanya dalam penulisan lirik dapat diterima ramai serta menghiburkan peminatnya. Malah lagu santai ini memberikan aura positif kerana mengajak pendengar untuk turut sama menyanyi.

“Saya berharap agar mereka yang mendengar lagu ini akan turut sama merasakan aura positif yang cuba saya sampaikan. Memang ketika menulis lagu ini saya menyimpan niat untuk membuatkan orang gembira ketika mendengarnya,” ujar Hazama.

HAFIZ - MATAHARI

Lagu dendangan Hafiz Suip ini sememangnya mempunyai maksud yang mendalam. Namun, apakah maksud sebenar di sebalik lirik yang begitu puitis tulisan Transformers Melayu ini. Kata komposer “Matahari” (judul asalnya “Matahari Tak Indah Lagi”), Ajai, lagu ini sebenarnya mempunyai elemen Islamik di mana maksud sebenar lagu ini berkisar tentang akhirat.

“Lagu ini bercerita tentang kesedaran manusia mengenai alam akhirat. Bila dah berlaku kiamat, matahari tak akan muncul lagi. Namun secara am, lirik ini ditulis dengan maksud yang tersirat agar pendengar bebas sesuaikan lagu ini dengan situasi dan pemahaman mereka sendiri.”

Tambah Ajai, lagu ini juga membawa maksud harapan dan masa depan seseorang yang mengharapkan sinar di kemudian hari.

Demi menyesuaikan dengan vokal Hafiz, lagu ini telah ditukar bait-bait liriknya beberapa kali. Kata Ajai, mereka tidak mahu menjadikan lagu ini terlalu berat dari segi maksud dan susunan muzik.

BUNKFACE & AMY SEARCH - RENTAK LAGUKU

Kumpulan Bunkface yang terdiri daripada tiga anak muda iaitu Sam, Paan dan Youk merupakan antara finalis yang layak mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29 menerusi lagu “Rentak Laguku”. Berkolaborasi dengan legenda rock negara, Amy Search, Sam yang juga penulis lagu ini berkongsi bahawa lagu tersebut mempunyai maksud yang besar untuk Bunkface.

“Lagu ini merupakan single pertama dari album ‘Malam Ini Kita Punya’. Saya tulis lagu ini dah lama, kira-kira dua tahun lepas. Ia mempunyai makna yang besar untuk Bunkface kerana lagu ini menjelaskan muzik yang kami bawa dan kami akan kekal dengan muzik sebegini,” jelas Sam.

Tambah vokalis Bunkface ini lagi, dia turut menyelitkan kata-kata sinis yang berbunyi “Kelebihan yang kau ada cuma seketika” sebagai peringatan untuk mereka sendiri dan juga penggiat seni yang lain supaya tak mudah lupa diri.

“Inspirasi lagu ini ditulis buat kumpulan muzik yang ingin bertapak dalam industri, namun setelah dikenali mereka lupa diri. Ia juga merupakan pesanan untuk kami sendiri,” kata Sam.

Bergabung dengan Amy Search dalam lagu ini, menurut Sam, Amy merupakan legenda rock yang pernah melalui asam garam kehidupan sebagai anak seni. Maka, Amy lebih memahami kepayahan yang dilalui anak-anak muda sekarang dalam memperjuangkan muzik mereka.

“Abang Amy pernah melalui fasa tersebut dan beliau seorang saja faham situasi kami. Lagipun, kami dan Abang Amy merupakan dua generasi yang berbeza namun memperjuangkan muzik yang sama,” ujarnya.

DAYANG NURFAIZAH - DI PINTU SYURGA
Siapa boleh lupa penangan lagu “Di Pintu Syurga”? Masih menjadi siulan sehingga kini, popularitinya melonjak sejak dipilih sebagai lagu tema drama bersiri slot Akasia, ‘Ariana Rose’. Bertemu dengan Iman Imran, penulis lirik bagi lagu dendangan Dayang Nurfaizah itu, dia memberitahu lirik lagu tersebut dihasilkan dalam masa tiga jam sahaja.

“Masa saya dapat lagu tersebut, saya sudah tahu yang lagu itu adalah nukilan Tam Spider dan bakal dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah. Saya telah terlebih dahulu dimaklumkan oleh pihak pengurusan mengenai apa yang perlu saya lakukan. Pada mulanya, saya takut kerana lagu ini merupakan karya Tam selaku komposer. 

Hasil sentuhan Tam tidak pernah mengecewakan dan saya agak gementar pada mulanya. Namun begitu, selepas sesi perbincangan, saya sudah boleh lakarkan apa yang mahu ditulis dalam lagu tersebut. Akhirnya saya menulis lagu itu dalam masa tiga jam sahaja,” ujar Iman memulakan perbualan.

Mengambil inspirasi dari apa yang berlaku di sekeliling sebagai sumber rujukan untuk jalan cerita lagu, Iman menyatakan yang hampir kesemua orang pernah melalui pengalaman yang sama dengan apa yang dicoretkan dalam lagu tersebut.

“Semua pernah melalui pengalaman serupa, iaitu kehilangan. Saya rasakan lagu ini tidak hanya termaktub untuk kehilangan cinta kekasih sahaja, namun ia juga boleh dikaitkan dengan perkara lain. Lagu ini juga menceritakan tentang kehilangan orang tersayang seperti sahabat, keluarga, kisah tragis seperti bencana atau musibah yang menimpa. Ada juga yang datang kepada saya kerana terkesan dengan lagu ini; apabila mereka mendengar, mereka teringat dengan arwah ibu mereka,” kata Iman.

“Selain menampilkan kisah mengenai kehilangan, lagu “Di Pintu Syurga” juga bercerita perihal cinta yang tidak sampai. Walaupun tidak kesampaian, cinta itu tidak hilang. Walaupun ‘lenyap’ di dunia, cinta itu berkekalan sehingga ke syurga.”