IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri Perak memberitahu  Kolej   Islam Darul Ridzuan (KISDAR) bakal dinaik taraf menjadi  kolej universiti  pada September tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa  Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sumber  Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid  berkata, jawatankuasa teknikal yang diketuai bekas Ketua Pengarah  Pelajaran, Tan Sri Wan Zahir Wan Nordin telah menghantar dokumen menaik  taraf  Kisdar  kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 24 Oktober lalu.
"Secara  prinsipnya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin  memberitahu, permohonan  Kisdar  untuk menjadi  kolej   universiti  akan  diluluskan selewat-lewatnya Mac 2012.
"Oleh itu,  Kisdar   dijangka memulakan operasi sebagai  kolej   universiti  mulai sesi  kemasukan pelajar 2012/13 pada September tahun ini," katanya.
Beliau  berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Wan Mohamad Khairil  Anuar Wan Ahmad (BN-Bukit Chandan) pada persidangan Dewan di sini.
Mohammad Zahir berkata, sebagai persediaan pengurusan   Kisdar  telah mengambil beberapa inisiatif seperti menjalin kerjasama  dengan  Universiti  Utara Malaysia.
Menurut beliau,  Kisdar  yang  diterajui Rektornya, Prof. Madya Dr. Jamil Hashim kini mempunyai 300  kakitangan termasuk 99 pensyarah tempatan dan antarabangsa.
No comments:
Post a Comment